Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2025

Sep 8, 2025 | News

8 September 2025 – Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2025 anjuran Ar-Razaq Kifayah Management dengan kerjasama Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Dynamik Technologies, telah berlangsung selama tiga hari.

Konvensyen menghimpunkan para belia dan pemimpin belia bersama agensi-agensi yang berkepentingan bagi mengongsikan maklumat yang tepat dan terkini mengenai Wawasan Brunei 2035, memperluas idea-idea inovatif serta menggalakkan penglibatan belia untuk lebih aktif dalam melaksanakan program dan projek yang menyumbang kepada Wawasan Negara.

Pihak PWB telah menyampaikan taklimat Wawasan Brunei 2035 pada hari pertama Konvensyen berlangsung yang dihadiri lebih 150 orang belia dari pelbagai sektor termasuk sektor kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar-pelajar dari beberapa institusi dan masyarakat awam. Taklimat mengongsikan kemajuan terkini serta inisiatifinisiatif yang dilaksanakan ke arah mencapai Wawasan Negara.

Taklimat kemudiannya disusuli dengan sesi perbincangan secara berkumpulan bagi menggalakkan perkongsian idea yang memberi impak positif kepada kemajuan negara.

Bertemakan “Connecting the Dots: Building a Sustainable Economy through Youth-Led Innovation”, para peserta juga berpeluang untuk mengikuti pelbagai aktiviti termasuk forum yang menfokuskan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035, sesi perkongsian snapshot belia, pembentangan, dan youth pitching.