News
21 October 2024
Taklimat bagi Bakal Calon-Calon Ujian Tulis Bahasa Melayu P42
15 Sept 2024 – Dengan tujuan meningkatkan kefahaman orang awam mengenai Wawasan Brunei 2035, Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menyampaikan taklimat kepada 850 pemohon-pemohon Taraf Kerakyatan semasa Majlis Taklimat bagi Bakal Calon-Calon Ujian Tulis Bahasa Melayu P42. Majlis tersebut dikendalikan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Antara perkara lain yang didedahkan semasa taklimat tersebut adalah inisiatif dan perkembangan terkini ke arah menuju Wawasan Negara termasuk dalam bidang pendidikan, kualiti kehidupan dan ekonomi.
Matlamat dan objektif Majlis Taklimat tersebut diadakan adalah untuk memberikan bakal calon-calon ujian serba sedikit maklumat dan pengetahuan tentang adat istiadat negara, bahasa, budaya dan tatasusila serta hal ehwal kenegaraan serta falsafah Melayu Islam Beraja yang perlu diketahui oleh Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebelum menduduki Ujian Tulis Bahasa Melayu yang dijangka akan diadakan pada bulan Oktober 2024.