Jelajah Kerjaya 2025

Oct 16, 2025 | News

16 Oktober 2025 – Pejabat Wawasan Brunei, Jabatan Perdana Menteri mengambil bahagian dalam Jelajah Kerjaya 2025 bagi Daerah Brunei dan Muara yang dianjurkan oleh Pusat Pekerjaan Brunei. Jelajah tersebut diadakan sepanjang bulan Oktober 2025 yang diadakan di ke empat-empat daerah termasuk Daerah Brunei dan Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

Hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Acara Kemuncak Jelajah Kerjaya 2025 di BRIDEX, Jerudong ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Sepanjang pameran berkenaan, maklumat terkini mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan yang Berdaya Tahan (Sustainable Development Goals – SDGs) turut dikongsikan melalui interaksi bersama orang ramai termasuk pencari-pencari kerja.

Sebanyak 105 pempamer terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dari pelbagai sektor telah menawarkan lebih 1,682 peluang pekerjaan pada Majlis tersebut. Manakala bagi Jelajah Kerjaya yang diadakan di Daerah Belait, Tutong dan Temburong, lebih 1,850 pencari kerja tempatan telah berkunjung ke acara tersebut yang mana mencerminkan semangat dan kesungguhan anak tempatan dalam merebut peluang yang disediakan melalui platform berkenaan.