10 September 2025 – Konvensyen Pemimpin Muda Brunei (BYLC) 2025, diakhiri dengan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, sekali gus menandakan kejayaan tiga hari program yang berimpak tinggi dalam memperkasa belia sebagai pemimpin masa depan Negara Brunei Darussalam.
Semasa majlis tersebut, tetamu kehormat turut menyampaikan Anugerah Geran kepada pemenang-pemenang ‘Youth Pitching’, iaitu pembentangan cadangan dan penyelesaian kreatif yang dirangka sepanjang konvensyen bagi menangani cabaran-cabaran utama negara.
SeriHub Company dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama, diikuti oleh PhytoBrunei di tempat kedua dan Solat Buddy di tempat ketiga. Sebanyak 15 kumpulan dan individu yang terdiri dari peserta BYLC telah mengambil bahagian dalam sesi pitching tersebut.
Sepanjang konvensyen berkenaan, PWB turut membuka reruai pameran bagi berkongsi maklumat terkini mengenai Wawasan Brunei 2035 dan berinteraksi bersama para peserta.
