30 Jun 2026 – Taklimat Wawasan Brunei 2035 yang disampaikan oleh Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-37 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA). Program tersebut disertai oleh 23 orang pegawai kerajaan daripada beberapa kementerian.
Semasa taklimat tersebut, PWB antaralain mengongsikan kemajuan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, termasuk inisiatif utama serta perkembangan yang mendukung pencapaian matlamat Wawasan negara. Turut diadakan ialah aktiviti berkumpulan bertemakan futures atau foresight bagi memperkukuh pemahaman peserta mengenai kepentingan pemikiran berpandangan jauh (future thinking), perancangan strategik dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa hadapan.
Program ini bertujuan membangunkan pengetahuan dan kompetensi kepimpinan pegawai perkhidmatan awam di peringkat pengurusan pertengahan, di samping melengkapkan mereka dengan kemahiran kepimpinan yang diperlukan untuk memimpin pasukan masing-masing dalam persekitaran yang semakin dinamik dan tidak menentu. EDPMMO merupakan salah satu program di bawah Civil Service Leadership Pipeline yang diterajui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Program dikendalikan oleh IPA, JPM.
