5 Mei 2026 – Seramai 40 pelajar dan tenaga pengajar dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam telah menghadiri taklimat mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Matlamat Pembangunan Yang Berdaya Tahan (Sustainable Development Goals, SDGs) yang disampaikan oleh Pejabat Wawasan Brunei, Jabatan Perdana Menteri.
Taklimat Wawasan Brunei 2035 dimulakan dengan perkongsian mengenai perkembangan terkini Wawasan Brunei 2035, termasuk pelaksanaan inisiatif-inisiatif dan penglibatan pelbagai pihak iaitu sektor kerajaan, sektor swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, dan orang ramai dalam sama-sama mendukung merealisasikan Wawasan Negara. Manakala, taklimat SDGs pula menyentuh mengenai peranan dan keutamaan SDGs dalam mendukung pembangunan Negara Brunei Darussalam yang inklusif dan mampan.
Para pelajar terdiri daripada program HNTec in Real Estate Management and Agency dan HNTec in Geomatics dari Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan. Taklimat bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman kepada para pelajar, di samping memberi inspirasi untuk terus memainkan peranan aktif sebagai generasi penerus dalam sama-sama menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negara.
