News
21 October 2024
Aktiviti bagi Program Jati Diri Kohort Ke-7
14 Okt 2024 - Bagi melahirkan generasi muda yang berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, peserta Program Jati Diri Kohort Ke-7 berpeluang untuk menimba ilmu mengenai Wawasan Brunei 2035 dengan mengikuti sesi aktiviti pembelajaran dan taklimat yang disampaikan oleh pihak Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Sesi yang diadakan di Kem Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong itu dihadiri seramai 40 belia yang terdiri daripada penuntut-penuntut Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Antara mesej yang ditekankan semasa sesi taklimat adalah penglibatan belia dalam pendekatan senegara (whole-of-nation approach), yang mana belia memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk dan mencorak pembangunan serta kemajuan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035. Para peserta juga turut didedahkan dengan aktiviti-aktiviti interaktif untuk menggalakkan kerja berpasukan dan meningkatkan produktiviti serta kesedaran berhubung dengan Wawasan Negara.