16 Ogos 2025 – Peringkat akhir Pertandingan Drama Pentas bagi Sekolah-Sekolah Menengah senegara telah diadakan semasa Festival Teater Nasional Brunei (NTFB) Kali Ke-4 anjuran 247 Studios yang berlangsung di Sekolah Antarabangsa Jerudong Arts Centre.
Juara pertandingan disandang oleh Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, manakala naib juara dimenangi oleh Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Ma’had Islam Brunei di tempat ketiga.
Pertandingan tersebut terbuka kepada para penuntut Tahun 7 hingga Tahun 9 daripada sekolah menengah kerajaan dan swasta. Sebanyak lima buah sekolah memperolehi markah tertinggi mara ke peringkat akhir.
Festival tersebut menyaksikan persembahan drama yang bertemakan Wawasan Brunei 2035. Pertandingan ini diadakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan, serta Pejabat Wawasan Brunei di Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM).
