News
02 December 2022
Program Jati Diri Kohort I (Sesi I)
11 Oktober 2022 - Dalam meningkatkan pengetahuan belia mengenai matlamat wawasan Negara, kira-kira seramai 200 peserta Program Jati Diri Kohort 1 menghadiri taklimat Wawasan Brunei 2035 daripada Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Para peserta yang terbahagi kepada tiga platun, iaitu Platun 1, 2 dan 3 , adalah terdiri daripada penuntut-penuntut Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE). Taklimat tersebut dijalankan dalam dua sesi di Kem Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong, yang mana bagi sesi pertama dihadiri seramai 122 dari Platun 1, 2 dan 3. Manakala sesi kedua, Platun 4,5 dan 6 akan mengikuti taklimat pada minggu hadapan menurut jadual yang telah diaturkan.
Taklimat sesi pertama telah disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Multazimah binti Hj Ibrahim, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, PWB. Selain daripada memberikan gambaran keseluruhan mengenai Wawasan Brunei 2035, Dayang Siti juga turut menyentuh mengenai penglibatan belia dalam pendekatan senegara (Whole-of-Nation), yang mana belia merupakan generasi harapan bangsa yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.
Taklimat berkenaan juga diselitkan dengan beberapa aktiviti untuk menggalakkan para platun bekerja secara berpasukan serta meningkatkan produktiviti dan kesedaran yang berhubung dengan Wawasan Brunei 2035.
Program Jati Diri adalah hasil kolaborasi bersama beberapa agensi iaitu IBTE, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN) dan Sekretariat Manpower Planning and Employment Council (MPEC).
Seramai 215 pelajar IBTE kohort pertama jurusan Industrial Skills Qualification (ISQ) dan iSkill sedang menjalani latihan Program Jati Diri selama 3 bulan mulai 20 Ogos 2022 sehingga 17 November 2022. Program ini bertujuan untuk meningkatkan, memupuk serta mengukuhkan integriti, disiplin, tanggungjawab, kerohanian dan mengubah minda pelajar IBTE agar lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.