News
01 April 2024
Program Generasi Berwawasan: Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah
11 Mac 2024 – Jabatan Perdana Menteri melalui Pejabat Wawasan Brunei (PWB) dengan kerjasama Pejabat Perancangan Tenaga Manusia mengadakan satu program taklimat bagi penuntut-penuntut Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli). Taklimat tersebut adalah sebahagian daripada Program Generasi Berwawasan yang dikendalikan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40. Taklimat yang berlangsung di Dewan Auditorium, Maktab Duli, Gadong, dihadiri seramai 451 orang pelajar pra-universiti yang baru memulakan pengajian menengah 6 bawah bagi tahun akademik 2024/2025.
Acara dimulakan dengan taklimat Wawasan Brunei 2035 yang disampaikan oleh Yang Mulia Hjh Siti Khadijah binti DPS Hj Abd Rahman, Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II daripada PWB yang mana beliau memberikan pendedahan meluas terhadap Wawasan Negara dan usaha-usaha yang telah dan sedang dilaksanakan serta perkembangan negara kepada pelajar-pelajar. Beliau juga menyeru para pelajar agar menjadi belia yang proaktif dan berfikiran ke depan bagi menggerakkan agenda pembangunan negara. Acara kemudiannya diteruskan dengan taklimat dari Yang Mulia Dayangku Amal
Nabilah binti Pengiran Hj Mohd Yassin, Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Pejabat Perancangan Tenaga Manusia.