WAWASAN BRUNEI 2035
Pada tahun 2008, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan satu visi kemajuan jangka panjang negara yang dikenali sebagai Wawasan Brunei 2035.
Menjelang tahun 2035, Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang terkenal di seluruh dunia dengan pencapaian penduduknya yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang mengikut piawaian antarabangsa yang tertinggi; kualiti kehidupan yang tertinggi termasuk antara 10 negara teratas di dunia; dan ekonomi yang dinamik dan berdayatahan di antara 10 negara teratas dari segi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Per Kapita.
Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 (MTWB) telah ditubuhkan pada tahun 2014 yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. MTWB akan memberikan hala tuju di peringkat kebangsaan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan Wawasan Brunei 2035, melalui Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035.