News
21 August 2025
Pejabat Wawasan Brunei Ikut Serta Pelancaran Rancangan Kemajuan Negara Ke-12
21 Mei 2025 - Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengambil bahagian dalam pameran dan sesi taklimat bagi Pelancaran Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN 12) yang dilancarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE). Acara tersebut diadakan selama tiga hari bermula 21hb Mei sehingga 23hb Mei 2025 di Lobi dan Dewan Teater, MOFE. Tetamu kehormat bagi majlis pelancaran ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Sepanjang pameran dan sesi taklimat berkenaan, maklumat terkini mengenai Wawasan Brunei 2035 dibarigakan untuk memberikan pendedahan meluas dan mendidik orang awam mengenai kepentingan tindakan bersepadu dalam mencapai aspirasi negara demi masa hadapan.
Pameran yang bertemakan 'Mengukuhkan Pembangunan Sosio-ekonomi Bagi Menjamin Kesejahteraan dan Keharmonian Negara', memaparkan perjalanan serta projek-projek RKN oleh kementerian-kementerian dan agensi-agensi pemudahcara. RKN 12 adalah pelan pelaburan lima tahun yang merupakan komitmen strategik yang sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 dan disokong oleh enam teras pembangunan utama iaitu meningkatkan infrastruktur dan sistem pendidikan, melahirkan tenaga kerja selaras dengan keperluan industri, menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, mengukuhkan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat yang berdaya tahan, meningkatkan sumbangan sektor bukan minyak dan gas serta mengukuhkan pentadbiran awam yang efisien dan kondusif.