News
10 December 2022
8th Singapore-Brunei Youth Leadership Exchange Programme (SBYLEP)
21 November 2022 - Seramai 30 peserta 8th Singapore-Brunei Youth Leadership Exchange Programme (SBYLEP) yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda dari Negara Brunei Darussalam dan Singapura telah mempelajari lebih mendalam mengenai Wawasan Brunei 2035 daripada Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri.
Antara perkara yang ditekankan oleh Yang Mulia Pengiran Khairil Bahriah binti Pg Hj Mohd Ali, Pemangku Timbalan Pengarah, PWB adalah kepentingan pendekatan seluruh negara yang mana kejayaan negara bergantung kepada penglibatan penuh, komitmen dan sokongan daripada semua individu termasuk pemimpin-pemimpin muda. Taklimat tersebut berlangsung di East Wing, Jabatan Perdana Menteri.
SBYLEP ialah program pertukaran dua hala yang dianjurkan setiap tahun secara bergilir antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura sejak tahun 2014 yang antara lain bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara dengan mempromosikan pemahaman dan perpaduan para pemimpin.
Program anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bersama Majlis Belia Brunei, diadakan bermula 19 November sehingga 22 November 2022. Tema program tahun ini adalah 'Building Youth Resilience in the Post-Pandemic Era', di mana pemimpin-pemimpin belia yang berumur di antara 22 hingga 35 tahun akan bekerjasama, berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pendapat, serta mewujudkan persekitaran yang boleh membantu para belia menjadi lebih tabah terutama menghadapi pelbagai cabaran masa kini.