News
22 December 2022
Taklimat Wawasan Brunei 2035 bagi Ekspo Produk Tempatan 2022
3 Disember 2022 - Sempena Brunei December Festival, Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri mengambil bahagian dalam Ekspo Produk Tempatan 2022 untuk menyampaikan taklimat Wawasan Brunei 2035 kepada orang awam. Ekspo tersebut berlangsung selama empat hari bermula pada 1 Disember 2022 di Dewan BRIDEX 1 dan 2.
Dalam taklimat tersebut, Dayang Nur Edzalina binti Hj Idris, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, PWB mengongsikan inisiatif-inisiatif ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035 dan strategi serta kemajuan terkini terutamanya Matlamat 3: Ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Taklimat juga diselitkan dengan beberapa aktiviti bagi mengujikan minda serta pengetahuan orang awam tentang wawawasan negara.
Ekspo berkenaan julung kalinya dianjurkan bersama oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Darussalam Enterprise (DARe).
Objektif utama ekspo ini adalah untuk menyediakan platform bagi pengusaha-pengusaha tempatan, mempromosikan dan meluaskan lagi pasaran produk secara langsung kepada pembeli; mengetengahkan dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk / barangan yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan; memberikan peluang kepada para pengusaha tempatan untuk menjana pendapatan, sekali gus meningkatkan dan mengembangmajukan rangkaian perniagaan melalui taklimat dan seminar keusahawanan serta aktiviti-aktiviti networking dan business matching.