News
26 April 2023
Pameran dan Taklimat Wawasan Brunei 2035 Brunei MSME Festival 2023
18 Mac 2023 - Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri mengambil bahagian dalam Festival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Negara Brunei Darussalam (Brunei MSME Festival) 2023 anjuran Darussalam Enterprise (DARe) yang berlangsung selama empat hari bermula pada 16 Mac 2023 di Dewan BRIDEX 1 dan 2 dengan tema “DARe to Innovate: Growth & Resilience through Innovation".
Sesi taklimat telah diadakan pada hari ke-tiga, yang mana Dayang Nur Edzalina binti Hj Idris, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, PWB mengongsikan kemajuan terkini serta inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 terutama bagi Matlamat 3: Ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Taklimat juga diselitkan dengan beberapa aktiviti bagi menguji minda orang ramai mengenai wawasan negara.
PWB juga turut membukakan kaunter pameran sepanjang empat hari tersebut bagi berkongsi maklumat terkini tentang Wawasan Brunei 2035 dan berinteraksi bersama orang ramai.
Festival berkenaan adalah sebuah acara tahunan yang diadakan pertama kali pada tahun 2019. Objektif utama festival ini adalah untuk membantu memasarkan dan memperkenalkan produk serta perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan. Di samping itu, acara ini juga dihasratkan akan dapat menggalakkan budaya keusahawanan di kalangan anak-anak muda tempatan serta meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap program dan perkhidmatan berkaitan perniagaan yang ditawarkan oleh pihak DARe dan pelbagai agensi Kerajaan.