News
26 April 2023
Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) bagi PPDB
27 Mac 2023 - Para pegawai daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan beberapa Jabatan dan Kementerian telah menghadiri taklimat mengenai Wawasan Brunei 2035 daripada Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri. Taklimat tersebut adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) bagi PPDB yang dianjurkan oleh Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA) dengan kerjasama PPDB.
Taklimat yang berlangsung di ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Amalina binti Hj Awg Tengah, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, menerangkan antara lain, mengenai inisiatif dan perkembangan Wawasan Negara. Taklimat turut diselitkan aktiviti secara berkumpulan berkaitan dengan futures atau foresight bagi meningkatkan pengetahuan para peserta dalam keberkesanan perancangan apabila berhadapan dengan masa depan yang cepat berubah dan tidak menentu.
Program EDPMMO bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam bidang tertentu dan bersesuaian dengan kepimpinan, inovasi dan kemajuan. Dalam masa yang sama, membimbing pegawai-pegawai tersebut dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan dan terarah.