News
21 August 2023
Taklimat bagi Program Jati Diri Kohort 3
19 Jun 2023 - Bagi melahirkan generasi muda yang berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, peserta Program Jati Diri Kohort 3 menghadiri taklimat Wawasan Brunei 2035 daripada Pejabat Wawasan Brunei (PWB), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Taklimat yang diadakan di Kem Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong itu dihadiri seramai 73 belia yang terdiri daripada pelajar iSkills dibawah Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Selain daripada memberikan gambaran keseluruhan mengenai Wawasan Brunei 2035, Yang Mulia Dayang Siti Multazimah binti Hj Ibrahim, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, PWB turut menyentuh mengenai penglibatan belia dalam pendekatan senegara (Whole-of-Nation), yang mana belia memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk dan mencorak pembangunan serta kemajuan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Taklimat berkenaan juga diselitkan dengan beberapa aktiviti untuk menggalakkan para belia bekerja secara berpasukan serta meningkatkan produktiviti dan kesedaran yang berhubung dengan Wawasan Negara.
Program Jati Diri adalah usaha kolaborasi di antara Sekretariat Manpower Planning and Employment Council (MPEC), IBTE, dan Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN). Program selama 90 hari berkenaan adalah sebahagian daripada program iSkills dalam Marking dan Fitting, iSkill dalam Rigging, iSkill dalam Scaffholding, dan iSkill bagi Industrial Skills Qualification (ISQ) dalam Welding di bawah IBTE.